Saad bin Amir al-Jumahi

Saad bin Amir al-Jumahi memeluk Islam sebelum kejatuhan Khaibar iaitu
pada bulan Safar, 7 Hijrah. Di kalangan sahabat namanya tidak terlalu
menonjol. Namum begitu sejarah kehidupan Saad penuh dengan contoh
teladan.

Beberapa kejadian dalam kehidupan Saad dapat mengungkapkan
mengenai ketinggian peribadinya. Dalam aspek kepemimpinan adalah
yang paling menonjol. Sebagai pemimpin umat beliau memiliki beberapa
sifat yang terpuji.

Pertama, Saad tidak memandang jawatan sebagai harta perhiasan dunia
yang perlu dikejar serta dibanggakan. Sewaktu Umar bin Khattab
menjadi khalifah, Saad dilantik sebagai Gabenor Homs. Sejak awal lagi,
dia keberatan untuk menerima perlantikan itu. Katanya kepada Amirul
Mukminin, "Janganlah saya dihadapkan kepada fitnah!" Mendengar
jawapan itu Umar berkata, "Tidak, demi Allah aku tidak mahu
melepaskan kamu! Apakah kamu hendak membebankan amanah dan
khilafah di atas bahuku, kemudian kamu meninggalkan aku?" Akhirnya
dengan rasa berat dia menerima juga perlantikan itu.

Kedua, tanggungjawab terhadap amanah merupakan sifat yang dijunjung
tinggi oleh Saad. Dengan itu dia berupaya mengerahkan segala
kemampuannya sebaik mungkin, termasuk kewangan. Dia berusaha pula
mengendali serta menjelaskan sikapnya kepada isterinya. Sebaik saja
pelantikan dibuat, Saad dan isterinya berangkat ke kota Homs. Khalifah
membekalkannya wang secukupnya serta keperluan hidupnya yang lain.

Suatu ketika apabila kedudukan Saad telah agak kukuh, isterinya
mengemukakan satu permintaan. Dia ingin membeli pakaian, perabot
rumah tangga menggunakan sebahagian harta yang dikumpulkan. Melihat
keinginan isterinya itu, Saad berkata, "Mahukah aku tunjukkan yang lebih
baik daripada rancanganmu itu? Kita berada di satu negeri yang sangat
pesat dengan urusan jual beli yang menguntungkan. Lebih baik kita
serahkan harta ini kepada yang dapat mengembangkan harta kita
sehingga keuntungan yang besar akan selalu kita perolehi!"

Mendengar janji yang sangat menarik itu, isterinya menerima cadangan
itu dan menyerahkan wang kepada Saad. Waktu terus berlalu. Setiap kali
si isteri bertanya mengenai wang simpanannya, Saad menyatakan
keadaannya baik dan berjalan lancar. Bahkan urusniaga dari sehari ke
sehari semakin bertambah dan banyak keuntungan yang diperolehi.

Kerana Saad selalu memberi jawapan demikian, pada satu hari isterinya
bertanya kepada salah seorang sahabat yang mengetahui kedudukan hal
yang sebenar. Setelah didesak, akhirnya sahabat itu memberitahu
bahawa Saad telah menginfaqkan hartanya di jalan Allah.

Mendengar itu, berlinanglah air mata si isteri kerana Saad telah
mengurangkan modal untuk 'perniagaan' tersebut dan dia tidak mungkin
akan 'mendapat balik' wang itu. Melihatkan kekecewaan isterinya, Saad
berkata, "Bukankah kamu tahu bahawa di dalam syurga itu terdapat
banyak gadis cantik bermata jeli hingga seandainya seorang saja di
antara mereka menampakkan wajahnya di muka bumi ini maka akan
terang benderanglah seluruh permukaannya dan tentulah cahayanya akan
mengalahkan sinar matahari dan bulan. Oleh itu mengorbankan dirimu
demi mendapatkan mereka tentu lebih wajar dan lebih utama daripada
mengorbankan mereka untuk mendapatkan dirimu."

Ketiga, Saad bukanlah jenis pegawai yang menafkahkan hartanya sekadar
sebagai simbolik sedangkan sebenarnya dia berupaya mengumpulkan
harta sebanyak-banyaknya. Pengorbanannya sebagai seorang pemimpin
begitu besar dan harga dirinya begitu tinggi sehingga Umar sendiri pun
terkejut mendengar mengenai kehidupan rumah tangga Saad.

Suatu ketika Umar mengirim wakil ke Homs untuk meninjau keadaan
pemerintahan di sana. Ketika wakil itu kembali ke Madinah, Umar
meminta senarai penduduk Homs yang tergolong dalam kategori fakir
miskin.

Sewaktu Umar meneliti laporan itu, dia ternampak nama Saad
dimasukkan sebagai orang yang perlu mendapat bantuan kerana
kemisikinannya. Umar bertanya kepada wakil itu, "Betulkah gabenor
kamu ini miskin?" Jawab mereka, "Benar, ya Amirul Mukminin. Demi
Allah di rumahnya selalu tidak kelihatan tanda-tanda api menyala (tidak
memasak)!"

Mendengar jawapan itu, menitislah air mata Umar. Dia menyuruh
wakilnya menyerahkan uncang berisi wang untuk bekal kehidupan Saad.
Sewaktu menerima kiriman daripada Umar itu, Saad mengucapkan,
"Innalillahi wa inna ilaihi roji'un!" Dia terus memanggil isterinya dan
memerintahkannya supaya membahagikan wang itu kepada fakir miskin.

Keempat, Saad sentiasa bersifat berlapang dada terhadap pelbagai
kritikan yang datang daripada rakyatnya. Sebenarnya memang sebelum
kedatangan Saad pun, penduduk Homs sudah terkenal sebagai golongan
yang banyak menuntut itu dan ini.

Homs pada ketika itu dikenali sebagai Kuwaifah (Kufah kecil) kerana
penduduknya yang mirip dengan orang Kufah, iaitu senang melapor
kepada pemerintah pusat akan kelemahan yang dianggap ada pada
gabenor mereka.

Suatu ketika Umar datang ke Homs. Kesempatan itu digunakannya untuk
mendapatkan pandangan rakyatnya. Dalam satu majlis dia mempersilakan
rakyat menyampaikan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin mereka.
Tanpa berselindung sedikit pun mereka mengemukakan empat rungutan
kepada khalifah iaitu

1.gabenor baru keluar dari rumah setelah matahari tinggi,
2.tidak bersedia melayani rakyat pada malam hari,
3.dalam sebulan ada sehari tidak datang ke pejabat sehari penuh dan
4.kadangkala gabenor jatuh pengsan di hadapan umum.

Umar menerima kritikan itu dan kemudian mempersilakan Saad
mengajukan pembelaan-nya. Saad berkata, "Mengenai tuduhan mereka
bahawa saya tidak hendak keluar sebelum matahari tinggi, maka demi
Allah, sebetulnya saya tidak hendak menyebutkannya ... keluarga kami
tidak memiliki pembantu. Oleh itu setiap pagi terpaksa saya membantu
membuat adunan roti terlebih dahulu untuk keluarga saya. Sesudah
adunan itu siap dimasak, barulah saya buat roti. Kemudia saya berwuduk
untuk solat Dhuha. Sesudah itu saya berangkat ke tempat bertugas.

Mengenai kritikan kedua, saya telah membahagi waktu saya. Siang hari
untuk melayani masyarakat dan malam hari untuk bertaqarrub ilallah.

Mengenai kritikan ketiga, seperti yang telah saya terangkan tadi, saya
tidak mempunyai pelayan atau pembantu rumah tangga. Di samping itu
saya hanya memiliki pakaian yang melekat di badan ini. Saya mencucinya
sebulan sekali. Bila mencucinya saya menunggu kering lebih dahulu.
Selepas itu barulah saya dapat pergi melayani masyarakat.

Tentang kritikan keempat, ketika saya masih jahiliah saya pernah
menyaksikan almarhum Khubaib bin Adi dihukum oleh kaum Quraisy yang
kafir. Saya menyaksikan tubuhnya dicincang oleh orang Quraisy. Mereka
bawa tubuh itu dengan tandu sambil bertanya kepada Khubaib, 'Mahukah
tempatmu ini diisi oleh Muhammad sebagai gantimu, sedang kamu
berada dalam keadaan sihat wal afiat?' Jawab Khubaib, 'Demi Allah,
saya tidak ingin berada dalam lingkungan anak isteriku diliputi
keselamatan dan kesenangan dunia manakala Rasulullah SAW ditimpa
bencana walau oleh tusukan duri sekalipun...' "Setiap kali saya terkenang
peristiwa itu tubuh saya gementar kerana takut akan siksa Allah dan saya
berasa berdosa kerana pada waktu itu saya tidak dapat membantu
Khubaib sedikit pun. Dan saya berasa dosa saya tidak akan diampuni Allah
SWT....!"

Saad mengakhiri kata-katanya dengan titisan air mata di kedua belah
pipinya. Mendengar alasan Saad itu, Umar pun tidak dapat menahan rasa
terharunya. Dipeluknya gabenor itu sambil berkata, "Alhamdulillah
kerana dengan taufiq-Nya firasatku tidak meleset."