PENDIDIKAN ANAK-ANAK - Tuntutan Dan Tanggungjawab

Kedudukan anak-anak dalam Islam

Anak-anak merupakan anugerah serta rezeki kurniaan Allah SWT kepada
pasangan suami isteri yang secara fitrahnya berhajat dan sentiasa
mengharapkan kurniaan ini. Fitrah ini wujud di kalangan muslim mahupun
bukan muslim. Bagaimanapun ibu bapa muslim sangat dituntut untuk
mengetahui dan memahami nilai kurniaan Allah SWT ini. Ketidakfahaman
dalam perkara ini menyebabkan ibu bapa tidak dapat melaksanakan
peranan dan tanggung-jawab mereka, malah mungkin tidak menunaikan
hak anak-anak seperti memberi kasih sayang dan perhatian yang
sewajarnya.

Allah SWT berfirman di dalam Surah Asy-Syura, ayat 49-50 yang
bermaksud:

"Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki
dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia
menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada sesiapa
yang dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia
kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa."

Oleh itu kita wajib menyambutnya dengan penuh kesyukuran kerana
nikmat Allah SWT ini boleh menghiasi rumah tangga dan
menenteramkannya.

"Dan orang-orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kami
isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami)."
(Surah al Furqan: 74)

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud:

"Ya Rabbi, kurniakan aku seorang anak yang baik di sisi Engkau." (Surah
Ali Imran: 38)

"Anugerahkan aku seorang putera, yang akan mewarisi sebahagian
keluarga Ya'kub." (Surah Maryam : 5-6)

Kedua-dua ayat di atas merakamkan doa Nabi Zakaria yang berhajat
kepada anak untuk meneruskan kewajipan dakwah yang dipikulnya.

Menurut Akhlaq Hussain, "Anak-anak yang saleh menjadi sumber sedekah
jariah bagi ibu bapa...." Inipun sekiranya anak-anak tersebut dididik
dengan sempurna sehingga menjadi mukmin yang sebenar kerana hanya
anak-anak sebegini membolehkan ibu bapa memperolehi sedekah jariah
yang dikatakannya.

Apakah hak-hak anak ke atas bapa dan ibunya?

Rasulullah SAW telah bersabda di dalam beebrapa hadith sahih yang
maksudnya:

"Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik,
mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila sudah cukup umur dan
mengajarnya al- Quran" (Riwayat Al-Hakin dan Ad-Dailami)

"Pendidikan yang diberikan seseorang kepadanya lebih baik baginya
daripada bersedekah satu sha(nilai mata wang)"

"Tidak ada suatu pemberian yang lebih baik daripada seorang ayah
kepada anaknya daripada budi pekerti yang baik." (H.R. Tirmidzi)

Selain itu anak-anak juga berhak untuk mendapat perhatian dan
memperolehi kasih sayang ibu bapanya. Akhlaq Hussain menulis,
"Seandainya ibu bapa tidak melayani anak-anak mereka dengan kasih
sayang bagaimanakah mereka mengharapkan anak mereka berkelakuan
baik kepada mereka?"

Salah satu peranan terpenting di dalam kehidupan ibu dan bapa adalah
menjaga amanah Allah SWT dengan sebaiknya. Anak-anak adalah antara
amanah yang utama.

Rasulullah SAW telah bersabda, yang maksudnya: (".......dan setiap
suami adalah pemimpin bagi keluarganya. Ia akan diminta
pertanggungjawabannya dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni
rumah dan anak suaminya, dan ia akan diminta
pertanggungjawabannya.")

Oleh itu mendidik anak-anak menjadi soleh adalah satu tanggungjawab
diniyah. Kegagalan mendididk mereka akan membawa akibat yang berat
di akhirat. Allah SWT telah memperingatkan perkara ini di dalam Surah
at-Tahrim, ayat 6 yang bermaksudnya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Selamatkan diri kamu dan anggota
keluarga kamu daripada api neraka"

Tamaiyuz (perbezaan) di dalam matlamat dan perjalanan hidup
pendakwah.

Salah satu perkara penting yang perlu difahami dan disedari ialah
terdapat perbezaan yang ketara (tamaiyuz) di antara pendakwah dan
anggota harakah Islam dengan anggota masyarakat yang lain. Perbezaan
ini adalah dari segi matlamat dan perjalanan hidup kita. Kita menyedari


bahawa Allah telah memerintahkan kita supaya menjadikan diri sebagai
manusia Rabbani.

Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Ali Imran ayat 79 yang
bermaksudnya:

"...Hendaklah kamu menjadi manusia-manusia rabbani"

Rabbani bermaksud kita memiliki ciri-ciri Rabbaniyah yang dikehendaki
Allah SWT, sama ada di dalam diri atau dalam perjalanan hidup kita.
Oleh itu kita mestilah bersifat Rabbani dari sudut ghoyah(matlamat) dan
wijhah(haluan) mahupun masdar(sumber) dan manhaj(sistem). Dengan itu
sudah pasti kita berbeza besar daripada masyarakat, dari sudut matlamat
pendidikan anak-anak dan juga method(kaedah) mendidik mereka.

Seorang sarjana pendidikan, Dr. Abdul Rahman Salih telah menulis:
".....setiap masyarakat mempunyai matlamat-matlamat tertinggi
(idealisma) di dalam kehidupan mereka, dan masyarakat itu akan
berusaha untuk menghantar anak-anak masyarakatnya kepada
matlamat-matlamat tersebut. Setiap masyarakat juga mempunyai
jalan-jalan atau metod-metod pendidikan untuk menyampaikan
masyarakat tersebut kepada matlamat-matlamat mereka. Oleh itu
apabila satu-satu masyarakat mengikuti atau meniru jalan-jalan dan
metod-metod pendidikan satu masyarakat yang lain, mereka dengan
sendiri telah mengambil idealisma atau hajat tertinggi masyarakat yang
diikuti atau yang ditiru." Oleh demikian dalam melaksanakan tuntutan
mendidik anak-anak, kita mestilah berwaspada supaya tidak tergelincir
daripada landasan pendidikan yang disyariatkan oleh Allah SWT dan yang
diterjemahkan di dalam kehidupan Rasulullah SAW.

Sepertimana yang dijelaskan, kita mempunyai ghoyah (matlamat
tertinggi) dan hadaf (matlamat dekat) yang lebih tinggi dan lebih mulia.
Ini melahirkan tamaiyuz dengan masyarakat. Kita adalah anggota harakah
Islam yang mempunyai matlamat hidup membangunkan sistem Allah. Kita
menjadikan tujuan hidup kita untuk menegakkan syariat Allah. Natijah
daripada kesedaran ini adalah menjadikan seluruh kehidupan kita sebagai
ibadah. Dengan semua aktiviti hidup kita adalah untuk mencapai
matlamat yang suci ini. Oleh itu pembinaan diri kita sebagai
mukmin(fardi muslim) yang ikhlas berjihad dan pembangunan baitul
muslim (keluarga muslim) adalah untuk matlamat tersebut. Kelahiran
serta pendidikan anak-anak kita adalah untuk matlamat ini.

Anak-anak adalah generasi pewaris dakwah.

Di samping mendidik anak-anak menjadi anak yang saleh, mereka perlu
diproses dengan rapi agar bersedia memikul dan melaksanakan
tanggung-jawab dakwah dan jihad. Anak-anak kita adalah pewaris
perjuangan yang sedang kita laksanakan hari ini. Mereka akan
dipertanggungjawabkan untuk meneruskan perjuangan suci dengan lebih
berkesan kerana kesedaran yang telah ada di dalam hati kita. Di atas
hajat ini juga Allah menyebutkan doa nabi Zakaria di dalam Surah
Maryam, ayat 5 yang maksudnya:

"Anugerahkanlah aku seorang putera, yang akan mewarisi sebahagian
keluarga Ya'kub."

Oleh itu kita perlu bertanya kepada diri kita secara serius, adakah kita
peka atau prihatin dengan tanggungjawab mendidik anak-anak kita? Kita
perlu melihat anak-anak kita sebagai mad'u (orang yang diseru) yang
perlu dibentuk melalui satu proses tarbiyah, iaitu proses penyucian diri,
pembentukan kefahaman, kesedaran dan pembinaan syakhsiyah.

Pendidikan bagaimana yang dituntut untuk dilaksanakan?

Di dalam al-Quran Surah al-Ahzab, ayat 36 Allah SWT telah berfirman
yang maksudnya:

"Tidaklah patut bagi setiap mukminin dan mukminat apabila Allah dan
Rasul-Nya telah memutuskan sesuatu, ada bagi mereka pilihan lain
tentang urusan mereka."

Oleh itu kita dituntut untuk mendidik anak-anak melalui proses tarbiyah
Islamiyah sama ada dari segi manhaj, ghoyah, hadaf serta natijahnya.
Tarbiyah Islamiyah mempunyai manhajnya yang tersendiri dan
teristimewa kerana manhaj ini datang daripada Allah SWT, Allah yang
berteraskan tauhid. Seluruh kehidupan untuk berubudiyah kepada Allah
SWT semata-mata.

Satu lagi yang dituntut ke atas diri kita adalah ibu bapa sendiri; perlu
melalui pendidikan ini terlebih dahulu dengan keikhlasan, kesungguhan
serta penyerahan supaya kita terlebih dahulu menjadi manusia Rabbani.
Ini kerana salah satu prasyarat keberkesanan tarbiyah adalah contoh
teladan.





wassalaamualaikum warahmatullaahi wabarakatuh,